Kedua-dua lebah madu dan lebah kelulut mempunyai nama saintifiknya yang tersendiri. Nama saintifik bagi lebah madu ialah Apis spp. Di Malaysia, lebah madu terdiri daripada Lebah Keran (Apis Cerana), Lebah Import (Apis Mellifera), dan Lebah Hutan/Lebah Tualang (Apis Dorsata). Adapun lebah kelulut dikenali dengan nama saintifiknya Stingless Bee atau Trigona spp. Banyak perbezaan antara dua jenis lebah ini selain warna dan rasa madu. Maka, sudah pasti habitatnya juga berbeza. Terdapat dua jenis sarang yang dihasilkan oleh lebah madu mengikut spesies iaitu sarang kom berbilang (sarang tertutup) yang dihasilkan oleh beberapa jenis lebah madu seperti Apis Cerana dan juga sarang kom sekeping (sarang terbuka) yang dihasilkan oleh lebah madu seperti Apis Dorsata. Sarang lebah madu terdiri daripada sel-sel lilin berbentuk prisma heksagonal.
Manakala bagi lebah kelulut pula, ia telah mengalami evolusi dengan pelbagai bentuk sarang dan kelakuan pemakanan yang berbeza, mengikut setiap spesies. Semua lebah kelulut membina sarang dalam sistem tertutup dan kebanyakan sarangnya berbentuk seperti tempayan dengan satu ruangan masuk yang diperbuat daripada propolis. Kebanyakan spesies mempunyai tempat-tempat tertentu membuat sarang. Lebah kelulut spesies Melipona dan Trigona biasanya membuat sarang di dalam geronggang tunggul kayu atau dahan pokok. Contohnya seperti Trigona Thoracica selalu dijumpai membuat sarang di geronggang pohon rambutan, manggis, atau durian. Sesetengah lebah kelulut membuat sarang dalam rongga di dalam tanah atau sarang peninggalan tikus atau sarang burung kakak tua.
Dalam satu-satu koloni terdapat tiga kasta lebah yang setiapnya mempunyai tugas yang berbeza. Koloni bagi lebah kelulut sama seperti lebah madu yang mana padanya terdapat ratu, lebah jantan dan lebah pekerja. Dalam sistem lebah madu, lebah betina mungkin menjadi lebah pekerja atau ratu bergantung kepada jenis makanan yang ia terima semasa di peringkat larva; jika ratu, akan diberi makan jeli raja dan sekiranya lebah pekerja akan diberikan debunga sebagai makanan. Sistem kasta dalam lebah kelulut biasanya berdasarkan jumlah debunga yang dimakan manakala memakan jumlah debunga yang banyak akan menghasilkan ratu bagi spesies Melipona.
Namun di dalam sesebuah koloni lebah kelulut, boleh terdapat dua atau lebih ratu bertelur. Sel ratu boleh dibezakan dengan melihat sel yang lebih besar berbanding sel biasa yang mana sel tersebut dipenuhi dengan debunga. Ratu baru bagi lebah kelulut dihasilkan berkala tetapi kebanyakannya dibunuh dan tidak sempat menghasilkan telur. Tambahan pula, penukaran ratu yang bertelur tidak berlaku setiap tahun. Sesetengah ratu mungkin dikurung dalam sel khusus, dan sesetengahnya boleh hidup selama 3 hingga 7 tahun. Penghasilan ratu baru adalah dengan cara ratu kelulut bertelur pada sel yang mengandungi madu dan debunga yang mana sel tersebut telah diisi oleh lebah pekerja.
Seterusnya, propolis ialah campuran melekit seakan resin yang dihasilkan oleh lebah madu daripada rembesan terkumpul dari tunas atau getah pokok serta sumber botani yang lain. Ia sering digunakan sebagai bahan menutup ruang terbuka semasa membina sarang-sarang lebah. Bagi lebah kelulut, mereka kerap melawat pokok yang mengeluarkan resin kerana mereka memerlukannya untuk pembinaan sarang. Bilik atau ruang eraman dikelilingi oleh dinding keselamatan yang diperbuat daripada lilin dan propolis yang digelar sebagai involucrum. Di bahagian luar involucrum, tempayan lilin lembut dibina untuk penyimpanan madu dan debunga. Tempayan ini boleh bersaiz dari lima sehingga 40 milimeter tinggi. Bagi sesetengah spesies, tempayan madu dan debunga dipisahkan, manakala sesetengah spesies pula bercampuran. Kandungan propolis yang dihasilkan oleh lebah kelulut berkualiti tinggi dan mempunyai empat kali ganda kandungan flavonoid berbanding dengan propolis lebah madu. Oleh sebab itu, madu kelulut kaya dengan sumber antioksidan yang disebabkan oleh struktur propolis yang ada padanya yang tiada pada madu biasa.
Terdapat beberapa perkara yang boleh dilihat untuk membezakan antara madu lebah dan madu kelulut. Antaranya ialah cecair madu lebah biasa lebih pekat yang mana hanya mengandungi 20% air padanya. Manakala, cecair madu kelulut cair sedikit dengan mengandungi peratusan air sebanyak 30%. Dari sudut warna, lebah madu menghasilkan warna yang konsisten iaitu warna emas kekuningan atau juga boleh jadi warna hitam disebabkan oleh sarangnya yang hitam atau lama dan ia juga digelar sebagai madu tua. Rasanya pula seperti gula merah. Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai warna madu yang dihasilkan oleh lebah kelulut yang pada kebiasaannya berwarna jernih dan rasanya sedikit masam, adapun warnanya berubah menjadi gelap kehitaman mengikut musim yang berbeza yang kebiasaannya terjadi pada bulan Oktober,November,December,Januari dan Februari. Selain itu, madu lebah memerlukan masa selama satu jam untuk diserap oleh badan akan tetapi madu kelulut hanya mengambil masa selama setengah jam penyerapan ke dalam badan yang mana penyerapannya lebih tinggi dan lebih cepat masuk ke dalam badan.
Antara perbezaan yang lain bagi madu lebah dan madu kelulut adalah madu lebah mempunyai antioksidan yang lebih rendah iaitu 200 lebih jenis antioksidan berbanding madu kelulut yang mempunyai kandungan antioksidan yang lebih tinggi iaitu sebanyak 300 lebih jenis antioksidan apabila diuji di dalam makmal menggunakan mesin khas. Hal ini kerana, lebah kelulut pergi ke bunga-bunga yang kecil dan bunga kecil yang ada di rumput seterusnya masuk ke dalamnya untuk mengambil nektar untuk dijadikan madu. Di samping itu, madu lebah tidak mempunyai lactobacillus atau bakteria baik yang banyak padanya. Tidak seperti madu kelulut yang mempunyai kandungan lactobacillus iaitu bakteria baik yang lebih tinggi.
Menurut laporan akhbar Harian Metro baru-baru ini, harga madu kelulut mencecah RM 260 sekilogram pada tahun 2020 sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuatkuasa. Walaupun harga madu lebah kelulut meningkat tiga kali ganda, namun permintaan dan jualan madu itu tetap meningkat. Terkini, harga pasaran terkini bagi madu kelulut mencecah sekitar RM300 sekilogram setakat tahun 2022. Hal ini terjadi kerana setiap satu log koloni atau sarang madu kelulut menghasilkan purata antara 300 hingga 500 gram sekurang-kurangnya selepas tiga bulan dipindahkan ke ladand atau kebun ternakan. Lebah kelulut adalah spesies lebah trigona yang tidak mempunyai sengat dan madunya dikatakan mempunyai khasiat dan kebaikan yang banyak untuk merawat pelbagai penyakit kronik.
Kini, dengan kaedah dan inovasi yang sentiasa ditambahbaik dari semasa ke semasa, diharap dapat menghasilkan pengeluaran madu kelulut yang asli dan berkualiti tinggi untuk kita semua boleh menikmatinya pada kadar harga yang mampu untuk semua.

Madu Kelulut 300 gram
Set kasih
perkongsian yang bagus …
terbaik